KUALA LUMPUR: Keputusan oleh Mahkamah Rayuan The Hague memihak kepada Malaysia dalam kes Sulu disifatkan sebagai kemenangan penting buat kerajaan Malaysia.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu sekali gus menghalang apa-apa usaha oleh pihak yang mahu menguatkuasakan tuntutan mereka yang tidak sah terhadap kerajaan Malaysia di Belanda.

“Keputusan Mahkamah Rayuan The Hague ini merupakan satu lagi kemenangan penting kepada Kerajaan Malaysia rentetan daripada keputusan Mahkamah Rayuan Paris pada 6 Jun 2023.

“Kerajaan Malaysia yakin bahawa dengan keputusan ini, kerajaan adalah semakin hampir untuk membatalkan sepenuhnya ‘final award’ yang tidak sah dan disalahgunakan oleh pihak yang menuntut yang berjumlah hampir AS$15 bilion yang dikeluarkan oleh Dr. Gonzalo Stampa, dan sekali gus menjadikan tuntutan tersebut hanyalah sebagai sebahagian daripada sejarah,” ujar Perdana Menteri.

Tambahnya, kerajaan percaya bahawa keputusan ini serta keputusan Mahkamah Rayuan Paris baru-baru ini akan menamatkan usaha sia-sia pihak yang menuntut untuk menguatkuasakan ‘final award’ di negara-negara lain.

“Sehingga kini, kerajaan Malaysia tidak pernah berhenti dalam usaha untuk melindungi kedaulatan, keselamatan negara dan kepentingan negara.

“Kes Sulu ini membuktikan bahawa terdapat pencabulan yang nyata terhadap kekebalan kedaulatan Malaysia yang merupakan suatu perkara penting bagi setiap warganegara Malaysia madani,” tegas Anwar.

Ujar beliau, kerajaan akan meneruskan usaha melalui apa-apa cara bagi menentang eksploitasi dan penyalahgunaan sistem timbang tara antarabangsa termasuk mengambil sebarang tindakan yang perlu bagi mendapatkan kembali segala kos perundangan dari sumber kewangan negara yang terpaksa dibelanjakan dalam menangani tuntutan ini.

Pada tahun lalu, individu yang mendakwa sebagai waris Filipina kepada Sultan Sulu terakhir dianugerahkan AS$14.9 billion bersamaan RM62.59 bilion oleh mahkamah timbang tara Paris dalam pertikaian dengan Malaysia berhubung perjanjian tanah.

Pihaknya berusaha merampas aset negara di beberapa mahkamah termasuk di Perancis, Luxembourg dan Belanda.